Wednesday, December 14

Kesihatan - Masalah Tumbesaran




Apakah maksud masalah tumbesaran ?
 
Masalah tumbesaran bermaksud bayi, kanak-kanak dan remaja membesar dengan tidak normal, dan ini menyebabkan mereka tidak dapat mencapai potensi tumbesaran mereka yang sebenar.
Ibu bapa membawa anak mereka berjumpa dengan doktor kerana anak mereka lebih kecil atau pendek daripada rakan-rakan sebaya. 






Terbantut disebabkan oleh Achondroplasia

Tumbesaran kanak-kanak merupakan indikator utama yang menunjukkan status kesihatan dan kehidupan mereka. Tumbesaran kanak-kanak dapat dilihat pada carta tumbesaran yang standard. Apabila tumbesaran kanak-kanak menunjukkan tumbesaran abnormal, kanak-kanak tersebut perlu menjalani pemeriksaan yang teliti. Sebab tumbesaran yang abnormal ini perlu dikesan supaya rawatan dapat diberikan.



Apakah sebab-sebab masalah tumbesaran?

Sebab-sebab masalah tumbesaran kanak-kanak boleh terbahagi kepada beberapa kategori.
  • Terdapat kanak-kanak yang bersaiz kecil atau pendek tetapi mereka ini adalah normal. Ini disebabkan ibu bapa mereka yang bersaiz kecil atau pendek akan melahirkan anak-anak yang sedemikian juga. 
  • Kanak-kanak lewat matang (delayed bloomer): kanak-kanak ini lebih pendek daripada rakan sebaya pada permulaannya tetapi akhirnya akan mencapai ketinggian pendek yang normal (seperti rakan sebaya yang lain). 
  • Penyakit-penyakit yang melibatkan seluruh badan (penyakit sistemik) yang serius, tidak dirawat atau tidak dirawat dengan sempurna boleh mengganggu proses tumbesaran. Contoh-contoh penyakit tersebut ialah: 
  • Malnutrisi 
  • Penyakit usus 
  • Penyakit buah pinggang 
  • Penyakit darah (hematologi), contohnya talasaemia 
  • Penyakit sistem saraf 
  • Diabetes mellitus 
  • Trauma atau tekanan mental yang serius 
  • Penyakit yang berkaitan dengan hormon : 
  • Kekurangan hormon tiroid. 
  • Sindrom Cushing (hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal secara berlebihan). 
  • Kekurangan hormon pembesaran (growth hormone) menyebabkan kanak-kanak menjadi kerdil. 
  • Penyakit kongenital (sejak lahir) yang berlaku semasa tisu-tisu badan sedang membesar: 
  • Pembesaran yang terbantut semasa janin. 
  • Masalah kromosom - contohnya sindrom Turner. 
  • Masalah tulang (penyakit tulang atau tumbesaran tulang yang abnormal). 
  • Terlalu tinggi : Kanak-kanak atau remaja perempuan yang terlalu tinggi. 
  • Cepat akil baligh (precocious puberty) - kanak-kanak mencapai akil baligh lebih awal sebelum umur yang sepatutnya. 
  • Penyakit genetik - contohnya sindrom Marfan. 
  • Idiopatik (idiopathic) : sebab-sebab yang tidak dapat dikesan. 


Tanda-tanda dan gejala

Masalah tumbesaran dapat dilihat selepas kelahiran atau dikesan kemudian, contohnya : 

  • Berat badan lahir bayi adalah kurang dari sepatutnya (small for age) 
  • Pembesaran yang minima, contohnya ketinggian yang dicapai dalam setahun adalah < 5 cm/setahun (untuk kanak-kanak berumur melebihi 2 tahun) 
  • Terdapat tanda-tanda dan gejala lain tetapi ini bergantung kepada penyakit-penyakit yang tertentu. Anda perlu berjumpa doktor dan menjalani pemeriksaan yang menyeluruh. 


Apakah masalah yang boleh timbul daripada masalah tumbesaran ? 

  • Kanak-kanak tersebut akan merasa rendah diri dan sering ditertawakan atau dipermainkan oleh kanak-kanak yang lain. 
  • Perkembangan kanak-kanak tersebut dari segi sosial, akademik dan ekonomik akan terjejas. 
  • Ujian psikologi disarankan untuk menilai samada kanak-kanak tersebut mempunyai masalah IQ, pembelajaran, kurang fokus atau masalah tingkah laku. 


Apakah rawatan yang ada ? 

Rawatan bergantung kepada jenis masalah tumbesaran tersebut: 

  • Jika ia disebabkan oleh penyakit sistemik, maka rawatan penyakit tersebut boleh menyelesaikannya. Contohnya kekurangan hormon tiroid boleh dirawat dengan terapi hormon tiroid (berbentuk pil) 
  • Kanak-kanak yang menghidap penyakit-penyakit seperti kekurangan hormon pembesaran (growth hormone), sindrom Turner, penyakit buah pinggang dan berat badan kurang daripada usia kandungan (SGA - small for gestational age) boleh dirawat dengan suntikan hormon pembesaran (growth hormone injections). Hormon ini boleh membantu mereka mencapai ketinggian maksimum yang normal. Namun begitu, rawatan ini mengambil masa beberapa tahun dan melibatkan kos yang tinggi. 
  • Ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam mengenal dan menanamkan imej diri yang positif di dalam diri kanak-kanak tersebut. Kenal pasti kekuatan diri anak anda dan cuba memupuk kualiti tersebut. 
  • Sokongan, kaunseling dan rawatan perubatan yang sesuai boleh memperbaiki kualiti hidup kanak-kanak tersebut dan menghasilkan seorang individu yang hebat.

0 comments:

Post a Comment

Terima kasih sudi singgah dan tinggalkan komen di blog Fizah. InsyaAllah kunjung balas akan menyusul dari Fizah :)